MALAYSIA dijangka mencapai kemuncak jangkitan Covid-19 dengan rekod 6,300 kes pada pertengahan April.
Demikian kata Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.
ARTIKEL BERKAITAN: Korban Covid-19 meningkat kepada 27, kes keseluruhan 2,320
“Agak awal untuk kami katakan tetapi jika anda mahu ramalkan, ramalan dari JP Morgan mengatakan pada pertengahan April, kita akan capai kemuncak 6,300 kes.
“Jika lihat ramalan Malaysian Insititute of Economic Research, ramalan mereka lebih tinggi dengan 8,900 kes,” ujarnya pada sidang media, Sabtu.
Dr Noor Hisham berkata demikian ketika mengulas pertanyaan media berhubung penularan Covid-19 menjelang bulan Ramadan serta Hari Raya Aidilfitri yang akan tidak lama lagi.
Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata KKM telah memperuntukkan katil tambahan sekiranya berlaku pertambahan bilangan pesakit pada masa akan datang.
“Persiapan kesiapsiagaan KKM, kita peruntukkan 3,400 katil dan tambah dengan Institut Latihan KKM, sejumlah 5,292 katil.
“Dengan persiapan katil, kita rasa memadai. Tapi bak kata orang we prepare for the worst (kita bersedia untuk situasi terburuk). Kalau kita perlu untuk tambahan katil, mungkin ada 600 katil kat situ (MAEPS di Serdang).
“Sebanyak 400 (katil) di Hall A dan 200 lagi di Hall B. Lebih baik terlebih bersedia daripada kurang bersedia,” ujarnya lagi.