Pemergian Allahyarham ustazah Shadiya Abbas yang meninggal dunia akibat asma di Hospital Sungai Buloh telah undang perhatian ramai. Arwah juga disifatkan seorang isteri, ibu dan guru yang baik untuk anak-anak dan suaminya. Pemergiannya itu adalah sesuatu yang tidak diduga.
Terbaru, suami kepada ustazah Shadiya Abbas iaitu MK Azman memuatnaik status di laman Facebook meluahkan isi hatinya buat isteri tercinta.
Perjalanan terakhir
Alhamdulillah.. Selesailah sudah urusan pengkebumian jenazah buah hati dan bidadari saya petang tadi jam 4.00 petang di Tanah Perkuburan Puncak Alam. Segalanya dipermudahkan Allah. Urusan mandikan jenazah mu sayang dilakukan oleh ibumu, adik beradik perempuanmu, anak-anak lelakimu dan anak muridmu yang menawarkan diri untuk berkhidmat untukmu sayang.
Bukan sebagai imam tetapi sebagai jenazah
Abang ambil peluang ini untuk memandikanmu buat kali terakhir. Masih ingat lagi 2 hari sebelum sayang meninggalkan abang, sayang mandikan abg. Sayang, Abang imamkan solat untukmu. Sebelum ini sayang berada di belakang sebagai makmum, tapi kali ini sayang di depan abang. Bukan sebagai imam tetapi sebagai jenazah.
Akui kubur itu paling cantik
Sayang, Sayang bertuah kerana dihadiahkan Allah kubur yang indah dan liang lahad yang cantik. Abang perasan hal itu ketika hendak memasukkan mu dalam liang lahad, dalam hati abang menyebut, cantik sungguh liang lahad ini. Abang bersembang dengan penggali kubur dan petugas pengurusan jenazah, mereka akui kubur itu paling cantik mereka lihat, kata mereka dalam kubur kalau pakai kasut bot pun terasa sejuk, seolah-olah lantainya dari mar-mar. Kata mereka, bakal kubur siapakah ini.
Damailah engkau di sana
Ternyata sayang adalah pemiliknya. Semoga saya berada dalam rahmat Allah. Sayang, damailah engkau di sana, abang redha dengan pemergiaanmu. Sayang telah sempurna melaksanakan tugas sebagai seorang isteri, ibu, anak, guru dan sahabat. Insyaallah kita bertemu nanti di alam barzakh, padang mahsyar dan sama-sama masuk syurga.
Terima kasih kepada semua yang membantu urusan jenazah, bantu sediakan makanan, memberi sumbangan, berkongsi perasaan dan mendoakan arwah bidadari saya, jika ada dosanya, mohon ampunkan. Jika ada hutang arwah pada kalian, maklumkan pada saya.
Sumber: MK Azman